Thursday, June 19, 2014

Halal haram & halam....20/6/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Jumaat 22 S'ban 1435H)
Halal, Haram & Halam

Halal berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud 'dibenarkan' atau 'dibolehkan' oleh hukum syarak. Di Malaysia isu makanan halal dan haram menjadi agenda yang begitu hangat diperkatakan sekarang ini... Alhamdulillah. Isu ini bukan hanya memberi kesan kepada masyarakat beragama Islam sahaja, malahan turut mendapat perhatian daripada penganut-penganut agama lain kerana pengusaha makanan di Malaysia terdiri dari pelbagai kaum dan etnik.

PENCERAHAN :
Sebagai umat Islam adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk memastikan makanan yang dimakan adalah halal, iaitu bebas daripada sumber najis dan haram bermula dari proses penyediaan bahan mentah, proses pembuatan, penyimpanan, masakan, pengilangan, pembungkusan dan pengangkutan. Masyarakat Islam di negara ini seringkali digemparkan dengan dakwaan sesuatu produk itu diragui status halalnya. Biasanya dikaitkan dengan babilah... kesian babi !

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya." (QS Al-Baqarah : 172)

Kehalalan makanan mengikut syariat mempunyai pengaruh besar kepada pembentukan serta perkembangan peribadi seseorang Muslim. Ini bermakna setiap makanan yang tidak halal yang dimakan oleh seseorang muslim akan menjadi menjadi darah daging dan akan memberi kesan kepada pembentukan serta perkembangan peribadinya. Keperibadian seseorang muslim itu ternyata ada kaitan rapat kepada apa yang masuk ke dalam perutnya.

Tapi harus juga diingat halal haram bukan sekadar pada makan - minum sahaja tapi perlu juga dilihat pada semua aspek kehidupan manusia, antaranya ialah;
1. Halal haram pada pekerjaan yang dibuat
2. Halal haram pada pakaian yang dipakai
3. Halal haram pada hiburan yang dipilih
4. Halal haram pada insurans dan perbankan
5. Halal haram pada rumah kediaman yang diduduki
6. Halal haram pada semua yang kita lihat
7. Halal haram pada semua yang kita dengar
8. Halal haram pada semua yang kita rasa
9. Halal haram pada semua yang kita fikirkan
10. Halal haram pada semua yang kita pegang dan sebagainya...

Ada pelajar Ust Kay di SMKSU bertanya : "Ust Kay kenapa Allah SWT ciptakan sesuatu kemudian Allah mengharamkannya? Kan lebih baik Allah tidak menciptakannya supaya mudah untuk manusia menghindarinya? Jawapan Ust Kay :"Jawapan soalan kamu ini ada pada hujung soalan tersebut." Pernahkah Allah menyuruh umatnya menghapuskan segala yang haram? Atau sekadar menghindarkan benda yang haram?

Tanpa ada halal dan haram wujud bersama, bagaimana manusia, terutama umat Islam boleh diuji akalnya untuk mendekati yang halal dan menjauhi yang haram? Inilah tarbiyyah dari Allah SWT. Ingatlah, binatang yang haram, seperti khinzir atau nama glamournya babi juga adalah mahkluk ciptaan Allah. Setiap yang dicipta ada tujuannya, ada sebagai sumber makanan, ada sebagai ujian kepada manusia, menguji iman dan sama ada kita akan ingkar pada ajaran Allah dan sebagainya.

Sebagai contoh, anggota badan seperti tangan, kaki, mulut, mata, telinga dan alat kelamin diberi oleh Allah, melalui wahyu Allah, Al-Quranul Karim telah membimbing manusia agar digunakan secara halal, namun tetap ada manusia yang ingkar arahan-Nya. Mulut digunakan untuk menipu dan mengata, mata digunakan untuk memandang sesuatu yang bukan haknya. Tangan digunakan untuk mencuri, kaki digunakan untuk pergi ke tempat-tempat maksiat, alat kelamin digunakan untuk berzina dan sebagainya...

Contoh, antara memilih untuk pergi ke masjid atau ke 'Kalbu Malami' (kelab malam) dalam filem lama, Allah beri kita akal untuk membuat pilihan antara yang halal dan haram pada perkara tersebut. Dengan panduan iman dan takwa (IT) insya Allah kita akan memilih yang disukai oleh Allah SWT. Sebab nanti di akhirat kita sangat mengharap Rahmat dan Syurga-Nya. Hidup kita ini bukan untuk di dunia sahaja... itupun sementara. Tak ada orang yang mati kalau tak makan babi atau tak pergi kelab malam. Tapi mati kerana kedua-duanya, lagi ada...

KESIMPULAN :
Oleh itu apa yang perlu ditekankan ialah untuk kita mengenal dan membezakan apa yang haram, dan belajar menguatkan iman dengan didikan agama yang cukup untuk menghindarinya. Itu adalah lebih baik sebenarnya. Mengetahui halal bukan bermakna melakukannya, mengetahui yang haram, bukan bermakna menjauhinya. Kerana tahu sahaja tiada beza dengan tidak tahu, kalau tidak diiringi dengan tindakan. Wallahu a'lam - Halal haram pada tazkirah pun ada juga, terutama yang suka ubah nama penulis asal. Doakan istiqamah Ukay's.

No comments: