Friday, June 13, 2014

Bersederhanalah Dan Mintalah Secukupnya...14/6/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Sabtu. 16 S'ban 1435H)
Bersederhanalah Dan Mintalah Secukupnya...

Firman Allah SWT dalam Al-Quranul Karim;

وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاءُ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ

"Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana) akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata."
(QS. Ash-Shura : 27)

PENCERAHAN :
Bila kita berdoa mohon menjadi kaya raya, Allah tidak berikan kekayaan yang melimpah ruah kepada kita, tetapi Allah beri yang secukupnya... Sebab Allah Maha Mengetahui jika kita diberikan terlalu bermewah, mungkin kita akan menjadi kufur seperti Qarun. Bila kita minta hujan, mintalah secukupnya jangan berikan kita hujan selebat-lebatnya... sebab nanti bila hujan turun dengan sangat lebat dan tidak berhenti takut bah pula... Minta kurus juga contohnya, mintalah secukupnya, sebab bila terlalu kurus nanti... (sambung sendiri ayat ni)

Allah suka sikap yang bersederhana dan tidak melampaui batas atau berlebih-lebihan dalam semua perkara. Jika perlu MARAH, marahlah..tetapi usah terlupa dengan perkataan SABAR. Jika perlu MENANGIS, menangislah, tetapi usah terlupa dengan perkataan TENANG. Jika perlu PATUH, patuhlah..tetapi jangan sampai hilang MERDEKA. Jika mahu MISKIN sekalipun, miskinlah.. tetapi jangan terlalu miskin, nanti mudah menjadi KUFUR.

Jika mahu KAYA, kayalah.. tetapi jangan terlalu kaya sampai terlupa perkataan SEDEKAH. Jika mahu menjadi WARAK, lakukanlah ibadah sebanyak-banyaknya tetapi jangan terlupa keperluan DUNIA. Kalau mahu beli KERETA MEWAH, belilah.. selagi mampu dan menepati keperluan SEMASA. Kalau mahu beli beberapa BUAH RUMAH, belilah.. asalkan jangan s ampai tak tahu perkataan PUAS.
Kalau mahu MENIMBUN HARTA, bekerja-keraslah, asalkan jangan sampai terlupa BERIBADAH sampai 'keras'. Kalau mahu BERHIBUR, berhiburlah...asal tidak berhibur sakan sehingga MENYALAHI SYARIAT. Kalau mahu PERKATAKAN HAL ORANG, berkatalah... asalkan jangan sampai MENGUMPAT tetapi sekadar ambil pengajaran daripadanya dan tak perlu sebut nama. Kalau mahu CEMBURU dengan kejayaan orang, cemburulah.. . asalkan anda pun BERUSAHA KUAT sepertinya.

Hidup sederhana akan memastikan kita tidak akan miskin selama-lamanya. Bersederhanalah...dalam segala hal adalah titik kejayaan dalam semua perkara. Orang yang terlalu pandai kadang-kadang apabila bodoh terus sasau. Orang yang terlalu kuat..kadang- kadang apabila lemah terus tidak berdaya. Kumpullah harta sebanyak-banyaknya tetapi jangan sampai anda menjadi hamba kepada harta.

Binalah kedudukan ditengah manusia, tetapi jangan sampai hilang kepercayaan orang dan menjual maruah diri. Bukanlah seorang yang baik kalau beribadah sepanjang masa sedangkan untuk makan dan minumnya terpaksa meminta-minta. Seeloknya-eloknya... bersederhanalah, lantaran bekerja itu pun ibadah, membuang halangan dijalanan juga ibadah, menasihati orang juga ibadah.

Orang yang bersederhana sentiasa terpandang dimata dunia. Dia tidak akan hina oleh kemelaratan dan tidak terlalu tersohor oleh kemasyhuran. Dia terpandang sepanjang masa baik oleh orang yang hina mahupun orang yang mulia. Berkuasanya bersederhana bagaikan pakaian yang menjadi penebat pada rasa dingin dan panas yang membakar.

Sayidina Ali r.a. berkata, "Berkhairatlah mengikut kemampuan dan janganlah menjadi keluargamu hina dalam kemiskinan.. "

Hendaklah bersedekah, jangan sampai jatuh miskin, menyimpan harta jangan sampai digelar Si Bakhil, berhiburlah jangan sampai semakin jahil.... Kata Sayidina Ali r.a. lagi, "Insan tidak akan melihat kesalahan seseorang yang bersifat tawaduk dan lemah lembut.."

Tawaduk dan lemah lembut adalah kesederhanaan yang nyata, membangkitkan kasih sayang dan menumbuhkan cinta tulu s. Jika anda impikan penghormatan manusia, maka bersederhanalah dalam berbicara, berbatas-batas tatkala bergurau-senda dan menyimpan sebahagian kesukaan ketika terlalu gembira.

Lawan dari panas adalah dingin. Dan begitu sebaliknya. Tapi apakah kita tahu? Terlalu banyak panas dan terlalu banyak dingin itu adalah hal yang sama iaitu boleh memudaratkan. Maka dari itu, mintalah panas dan mintalah dingin secukupnya saja.

Lawan dari terang adalah gelap dan begitu sebaliknya. Tapi apakah kita tahu? Terlalu banyak cahaya dan terlalu banyak gelap adalah hal yang sama iaitu tidak boleh melihat apa-apa. Maka dari itu, mintalah terang dan mintalah gelap secukupnya saja. Lawan dari kurus adalah boroi atau gendut. Terlalu kurang makan dan terlalu banyak makan dua-duanya sesuatu yang tidak baik juga. Maka dari itu, makanlah secukupnya saja. Begitulah seterusnya...

KESIMPULAN :
lawan dari cinta adalah benci dan sebaliknya. Tapi apakah kita tahu? Terlalu sangat mencintai seseorang bila kita kehilangannya akan terlalu menyakitkan. Begitu juga jika kita membenci seseorang, bencilah sekadarnya dan tanamkan sedikit sayang padanya, sebab mungkin satu hari nanti dia akan... (habiskan sendiri ayat ini)
Wallahu a'lam - CCUK secukupnya, terlalu pendek orang tak puas...terlalu panjang orang menyampah ! Ukay's.

No comments: