Monday, June 9, 2014

Al-Ghina / At-Taghanni... 10/6/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Selasa. 12 S'ban 1435H)
Al-Ghina' / At-Taghanni

Menjadi lumrah manusia cenderung meminati muzik dan nyanyian sebagai satu media untuk menghiburkan hati, melepaskan lelah bahkan menghilangkan tekanan jiwa. Ust Kay pun suka menyanyi dan mendengar nyanyian. Walau bagaimana pun akhir-akhir ini atas kesedaran Islam, masyarakat umum telah mengalihkan minat itu kepada dendangan lagu-lagu nasyid yang liriknya membawa kepada kebaikan dan kesedaran agama.

PENCERAHAN :
Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum menyanyi (al-ghina’ / at-taghanni). Sebahagian mengharamkan dan sebahagian lainnya menghalalkannya. Masing-masing mempunyai dalilnya sendiri. Berikut sebahagian dalil seperti diuraikan oleh Ustaz Muhammad al-Marzuq Bin Abdul Mu’min al-Fallaty mengemukakan dalam kitabnya Saiful Qathi’i lin-Niza’ bab Fi Bayani Tahrimi al-Ghina’ wa Tahrim Istima’ Lahu. Juga oleh Dr. Abdurrahman al-Baghdadi dalam bukunya Seni dalam Pandangan Islam (hal. 27-38), dan Syeikh Muhammad Asy-Syuwaiki dalam Al-Khalash wa Ikhtilaf an-Nas (hal. 97-101).

1) Dalil-Dalil Yang Mengharamkan Nyanyian:
Berdasarkan firman Allah:
“Dan di antara manusia ada orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna (lahwal hadis seperti nyanyian, muzik dan lagu) untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu ejekan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.” (QS. Luqman : 6)

Hadis dari Aisyah r.a Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah mengharamkan nyanyian-nyanyian dan menjualbelikannya, mempelajarinya atau mendengar-kannya.” Kemudian beliau membacakan ayat di atas. (HR : Ibnu Abi Dunya dan Ibnu Mardawaih)

2) Dalil-Dalil Yang Menghalalkan Nyanyian:
Firman Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.” (QS : al-Ma’idah : 87) Hadis dari Ruba’i Binti Mu’awwidz Bin Afra berkata:
Nabi SAW mendatangi pesta perkawinanku, lalu baginda duduk di atas dipan seperti dudukmu denganku, lalu mulailah beberapa orang hamba perempuan kami memukul gendang dan mereka menyanyi dengan memuji orang yang mati syahid pada perang Badar.

Tiba-tiba salah seorang di antara mereka berkata: “Di antara kita ada Nabi SAW yang mengetahui apa yang akan terjadi kemudian.” Maka Nabi SAW bersabda: “Tinggalkan percakapan itu, teruskanlah apa yang kamu (nyanyikan) tadi.” (HR : Bukhari, dalam Fath al-Bari, juz. III, hal. 113, dari Aisyah ra)

Dengan menelaah dalil-dalil di atas (dan dalil-dalil lain sebenarnya), akan nampak adanya pertentangan (ta’arudh) antara satu dalil dengan dalil lainnya. Imam Asy-Syafi’i mengatakan bahawa tidak dibenarkan dari Nabi SAW ada dua hadis sahih yang saling bertentangan, di mana salah satunya menafikan apa yang ditetapkan yang lainnya, kecuali dua hadis ini dapat difahami salah satunya berupa hukum khusus sedang lainnya hukum umum, atau salah satunya global (ijmal) sedang lainnya adalah penjelasan (tafsir).

Oleh itu, jika ada dua kelompok dalil hadis yang nampak bertentangan, maka sikap yang lebih tepat adalah melakukan kompromi (jama’) di antara keduanya, bukan menolak salah satunya. Jadi kedua dalil yang nampak bertentangan itu semuanya diamalkan dan diberi pengertian yang memungkinkannya. Itu lebih baik daripada melakukan tarjih, yakni menguatkan salah satunya dengan menolak yang lainnya.

Demikian pula hukum mendengar nyanyian. Sekadar mendengarkan nyanyian adalah mubah, bagaimanapun juga nyanyian itu. Sebab mendengar adalah perbuatan jibiliyyah yang hukum asalnya mubah. Tetapi jika isi atau syair nyanyian itu mengandung kemungkaran, kita tidak dibolehkan berdiam diri dan wajib melakukan amar ma’ruf nahi munkar.

Tidak dapat dinafikan, banyak juga lagu-lagu nasyid sekarang ini yang dilihat menyimpang dari landasan asal lalu sifat komersialnya melebihi nasihatnya. Liriknya yang asalnya membawa kepada nasihat agama mulai bertukar k epada puja-puji wanita dan kekasih. Bezanya dengan lagu pop rock, biasa hanyalah kerana ia diadun sedikit dengan menyebut nama-nama Allah sekali sekala, kalimah Islam atau apa-apa elemen Islam.

Program bicara santai bersama artis contohnya, hendaklah digunakan untuk berdakwah kepada golongan yang hanya pergi majlis hiburan sahaja, tidak pergi masjid, surau dan majlis ilmu untuk mengaji ilmu agama, dengan menyelitkan sedikit tazkirah dan zikir kepada Allah dengan menyatakan kelebihan-kelebihannya kepada mereka. Peluang ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang Islam yang syumul. Dengan harapan mudah-mudahan akan terbuka hati mereka untuk mendekati Islam, mengkaji dan seterusnya menjadi orang soleh dan solehah serta meninggalkan maksiat pada satu hari nanti.

Berlainan pula di masjid. Majlis ilmu dan pengajian agama adalah majlis mengingati Allah dan masjid pula adalah rumah Allah di bumi ini. Adalah tidak wajar jika majlis ilmu di masjid dipenuhi dengan gelak ketawa yang berlebihan, nyanyian dan apatah lagi muzik. Ketika para sahabat r.a. duduk dalam majlis ilmu yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, mereka mendengar dan menumpukan sepenuh perhatian hinggakan bunyi daun yang gugur pun dapat didengari.

Sudah menjadi trend hari ini, mengundang artis-artis yang telah berhijrah dan digandingkan dengan para assatizah (ulama') untuk bicara santai tentang agama. Satu pendekatan yang baik untuk menarik peminat artis-artis tersebut mendengar tazkirah agama termasuklah artis yang diundang tadi. Cuma perlulah berhati-hati, terutamanya bila turut meminta artis tersebut menyampaikan dua - tiga buah lagu dengan diiringi muzik yang membingitkan.

Keaadaan asal untuk 'mengubah' telah bertukar menjadi 'di ubah'. Antaranya ialah ;
1. Golongan agamawan, para assatizah atau ulama' yang selama ini memperbanyakkan zikrullah dan mendengar alunan nasyid dan bacaan Al-Quran yang mendamaikan telah mula lunak dan berjinak-jinak dengan lantunan suara penyanyi R&B, Rap, Rock dan muzik yang kuat.
2. Pe nganjur dakwah semakin cenderung dengan para artis daripada ulama' yang diundang. Lebih risau seseorang artis yang tak dapat hadir berbanding ulama' yang diundang.
3. Masyarakat yang sudah mula berjinak-jinak dengan agama 'dipaksa' untuk mengimbau kembali kenangan-kenangan lama melalui lagu-lagu atau muzik yang pernah mereka minati satu ketika dahulu. (zaman jahiliyyah mereka)

Ketahuilah matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Sekalipun matlamat itu baik untuk tujuan dakwah, untuk menarik 'crowd' mendengar ceramah dan seumpamanya. Ust Kay pernah mendengar ada penyanyi yang diundang untuk 'bicara santai' dan bermain gitar DI DALAM MASJID. Ya Allah fitnah apakah ini ? 'Santai' sungguh dengan hukum-hakam agama.

Kerapkali juga Ust Kay diundang dalam program-program bicara santai bersama artis antaranya dengan Catriona Ross, Abby Abadi, Ali Terrarossa dan sebagainya (sekadar menyebut beberapa nama). Pernah Ust Kay ketika menyampaikan tazkirah ringkas dalam program tersebut diminta oleh penganjur agar memendekkannya lagi untuk memberi ruang artis yang diundang dapat menyanyi lebih banyak lagu...

KESIMPULAN :
Ust Kay bimbang, matlamat asal untuk berdakwah telah bertukar kepada berhibur semata-mata. Halusnya tipu daya syaitan... Yang sedihnya, penganjurnya terdiri daripada AJK surau dan masjid atau AJK JKKK yang berfikrahkan jemaah Islam. Wallahu a'lam - Bukan tak boleh tapi berhati-hatilah pada fitnah yang 'berbaju' dakwah. Ukay's.

No comments: