Wednesday, June 18, 2014

Haq - Batil @ Haq + Batil !...19/6/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Khamis 21 S'ban 1435H)
Haq - Batil @ Haq + Batil !

Kalimah Haq merujuk pada Kamus Dewan Edisi Empat bermaksud (al-Haqq) Allah Yang Maha Benar (satu daripada 99 nama Allah) manakala Batil bermaksud perihal tidak benar. Bagi pendapat Ust Kay lihat pada konteks ayat, Ia boleh merujuk kepada Allah SWT atau perkara yang benar dan batil pula merujuk perkara yang salah, sesuatu keadaan yang kita alami dan kita meragui tentang kesahihan sesuatu perkara tersebut.

PENCERAHAN :
"Ya Allah tunjukkan kepada kami yang haq itu haq, dan berilah kami kemampuan mengikutinya, dan tunjukkan kepada kami yang batil itu batil, dan berilah kami kekuatan menjauhinya."

Berdasarkan potongan doa di atas, pengertian haq dan batil mempunyai pelbagai lagi tafsiran. Haq boleh membawa maksud kebenaran, kewajiban, kebaikan, kepastian, kepunyaan, kewenangan, penyelidikan dan sebagainya. Batil pula perkara yang manusia cipta untuk menolak kebenaran tersebut. Sebagai contoh, dalam al-Quran ada menyebut bahawa putaran bumi mengikut paksinya dan matahari terbit dari timur ke barat. Oleh itu, kita tidak boleh menyatakan bahawa matari terbit dari arah lain sebab itulah kenyataannya.

Semalam Ust Kay menghadiri dan menyertai Perbarisan Hari Guru Peringkat Daerah ***** ******** di Stadium Tertutup ***** ********. Tujuan hadir adalah untuk meraikan rakan-rakan sesama guru dan memberi penghormatan kepada tokoh-tokoh guru yang terpilih. Alangkah terkejutnya Ust Kay, kami melangkah masuk ke dalam stadium dengan disambut oleh bunyi bingit kumpulan pancaragam yang perasan sedap menyanyi. Sudah seperti melangkah masuk ke ruang konsert hiburan Anugerah Juara Lagho (AJL) rasanya atau konsert di funfair. Maaflah Ust Kay ini kolot sikit... asalkan selamat !

Kalau kumpulan Koir lagu-lagu patriotik, itu kami masih boleh terima lagi sebab sebahagian dari profesionalisme profesion kami, tapi kalau hiburan nyanyian lagu-lagu cinta, berduet pulak lelaki dan perempuan, cukup-cukuplah... di luar sana lagi banyak ! Kita ini pendidik bukan penggalak. Bagaimana mungkin 'ketam' mampu mengajar anaknya berjalan betul ! Hormatilah sedikit sebahagian guru-guru yang hadir merupakan para haji dan hajjah, nazir, imam, bilal atau guru takmir masjid. Para ustaz dan ustazah hanya tertunduk tersipu-sipu. Kemudian majlis itu dimulakan dengan bacaan doa untuk mohon 'keberkatan'.

Teringat Ust Kay dengan peringatan Allah SWT dalam Al-Quran ;

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya."
(QS Al-Baqarah : 42)

Sebenarnya banyak lagi berlaku percampuran antara haq dan batil dalam masyarakat kita. Antaranya ialah;
1. Mengadakan majlis walimatul urus itu sunnah tapi diisi dengan ihtilat, acara khurafat dan maksiat.
2. Mengadakan acara sukan dan permainan itu harus tapi dicampuri dengan perjudian dan mendedah aurat.
3. Mengadakan rumah-rumah terbuka itu bagus tapi dicampuri dengan riya' dan pembaziran.
4. Mengadakan konsert-konsert amal tu niatnya baik tapi matlamat tidak pernah menghalalkan cara.
5. Berqasidah, bernasyid, bicara santai bersama artis yang berhijrah itu program yang menarik tapi kadangkala tempat dan waktunya pula boleh menimbulkan fitnah.

Semoga dakwah dan tarbiyyah yang istiqamah membina kita agar dapat membezakan kita dan mereka, membezakan yang mana haq dan batil, yang mana kawan yang mana lawan. Biar sekalipun manusia membenci kita tetapi kerana mencari redha Allah, kita kena bertindak untuk memisahkan yang haq dengan yang batil. Masyarakat memerlukan kita, mereka perlukan sentuhan para alim ulama' yang bergelar da'ie yang faham Islam dan mampu memahamkan Islam sebenar pada orang lain secara jelas bukan asyik keliru dan terus dikelirukan lagi...

Contohnya, di satu pihak pada bulan Ogos nanti, mereka menganjurkan program keagamaan dan kerohanian secara konsisten sepanjang tahun pada Sambutan Hari Kemerdekaan versi Islamik yang penuh pengisian ilmu serta dimeriahkan dengan kehadiran para ustaz, ulama tersohor serta ikon anak muda pencetus perubahan ke arah fitrah.

Di sebelah pihak yang lain, ada yang tetap 'istiqamah' menganjurkan program kemaksiatan dan lagha secara konsisten sepanjang tahun dengan kulminasinya pada "countdown" tak sabar nak laung "Merdeka!" yang terus mengekalkan resepi maksiat dan dosa serta dimeriahkan dengan kehadiran artis-artis serta penari separuh bogel.

KESIMPULAN :
Apabila kita menegakkan yang haq, maka secara semulajadinya yang batil akan lenyap. Pengetahuan dalam haq dan batil juga dapat membentuk insan yang memiliki semangat juang yang kental serta lebih berani kerana kita semakin yakin dan tiada ragu-ragu tentang apa yang kita lakukan. Wallahu a'lam - "Katakan yang benar walaupun pahit" Doakan istiqamah Ukay's.

No comments: