Sunday, June 8, 2014

Ucapan Terima Kasih Yang Belum Berterima Kasih...9/6/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Isnin. 11 S'ban 1435H)
Ucapan Terima Kasih Yang Belum Berterima Kasih...

Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan.

Pohon sirih pohon selasih
Tumbuh merimbun di hujung laman
Kalungan budi terima kasih
menjadi kenangan sepanjang zaman

Berkejar-kejaran ombak dilaut
Menyentuh pantai berpasir bersih
Budi tuan disebut-sebut
Kerja selesai dan terima kasih.

Ucapan terima kasih yang paling baik khususnya kepada sesama muslim adalah seperti berikut:
‘Jazakumullah Khairan Kathiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza’ (جَزَاكُمُ اللهُ خَيْرًا كَثِيْرًا وَجَزَاكُمُ اللهُ اَحْسَنَ الْجَزَاء) yang bermaksud “Semoga Allah SWT akan membalas kamu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas kamu dengan balasan yang terbaik.”

Daripada Usamah bin Zaid r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
من صُنِعَ إليه مَعْرُوفٌ فقال لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ الله خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ في الثَّنَاءِ

“Sesiapa yang diberikan kepadanya satu perbuatan kebaikan lalu dia membalasnya dengan mengatakan ‘Jazaakallahu Khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh hal itu telah mencukupi dalam menyatakan rasa syukurnya.” (HR :At-Tirmidzi dan An-Nasa’i)

Contoh, Ust Kay ingin mengucapkan : "Jazakumullahu khairan kathiran" kepada warga PTPTN Damansara Heights yang sudi guna consultant Ust Kay, SAFC Trainning & Consultant untuk Kursus Pembangunan Insan, Celik Hati & Iman Siri 1/2014 pada 6-8/6 yang lalu di Sri Menanti Resort, N9 !

Pendapat ulama mengenai ucapan tersebut ;
1. Dalam Faidhul Qodir dijelaskan: “Telah mencukupi rasa syukurnya.” Maksudnya adalah hal tersebut kerana pengakuan terhadap kekurangannya, dan ketidakupayaan dalam membalas kebaikannya, dan mempercayakan membalas kebaikannya pada Allah agar ia mendapatkan balasan yang sempurna.

2. Berkata al-Allamah al-Utsaimin rahimahullah dalam syarah Riyadhus Sholihin: “Hal itu kerana jika Allah membalas ke baikannya dengan kebaikan, hal itu merupakan kebahagian baginya di dunia dan akhirat.”

3. Asy-Syeikh Ahmad bin Yahya An Najmi pernah ditanya: “Apa hukumnya mengucapkan syukran (terimakasih) bagi seseorang yang telah berbuat baik kepada kita?” Beliau menjawab: “Yang melakukan hal tersebut sudah meninggalkan perkara yang lebih utama, iaitu mengatakan, ‘Jazaakallahu Khairan’ (semoga Allah membalas kebaikanmu).”

4. Al-Allamah Asy-Syeikh Abdul Muhsin hafizahullah menyatakan; Sebahagian ikhwan ada yang menambah pada ucapannya dengan mengatakan “Jazakallah Khairan Wa Zawwajaka Bikran” (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan dan menikahkanmu dengan seorang gadis dara) dan yang seumpamanya. Best tu !

5. Dan yang utama dalam menjawab kalimah yang bagus ini adalah dengan mengulangi kalimah tersebut iaitu membalasnya dengan mengatakan: “Wa Anta Fajazaakallaahu Khairan” atau yang seumpamanya. Walaupun membalasnya dengan ucapan “Wa iyyakum” dan yang seumpamanya adalah boleh, tetapi yang lebih afdhal adalah membalas dengan ucapan “Antum Jazaakumullaahu Khairan” dan mengucapkan dengan lafaz doa tersebut, tidak diragukan lagi bahawa ini lebih jelas dan lebih utama.” (Fatwa Syeikh Abdul Muhsin Al-Abbad Al-Badr Hafizahullah)

6. Menjawab dengan “Wafiika barakallah”
Apabila ada seseorang yang telah mengucapkan doa : “Barakallahu fiikum atau Barakallahu fiika” kepada kita, maka kita menjawabnya: “Wafiika barakallah” (Semoga Allah juga melimpahkan berkah kepadamu). (Ibnu Sunni, Al-Waabilush Shayyib Ibnil Qayyim)

PENCERAHAN :
Islam mengajar kita saling doa mendoakan. Jika masuk ke group seseorang dan membaca isinya dan kita mendapat ilmu darinya, tuliskanlah ucapan doa ini ‘Jazakallahu khair'. Jika tidak, kita belum lagi mengucapkan 'terima kasih' yang sebenar-benarnya. Wallahu a'lam - Jazakumullahu khairan kepada semua peminat CCUK. Ukay's.

No comments: