Friday, June 6, 2014

Masalahh oh masalahh... 6/6/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Jumaat, 8 S'ban 1435H)
Masalah Oh Masalah !

Kita sering membayangkan alangkah indahnya jika kehidupan di dunia selalunya mudah tanpa apa-apa masalah. Segala keinginan kita tersedia tanpa sebarang rintangan atau perlu untuk bersusah payah. Namun suatu hakikat yang diterima semua manusia ialah kehidupan ini penuh dengan segala rintangan dan cabaran. Kesenangan dan kesusahan datang silih berganti.

PENCERAHAN :
Bukankah Allah telah menyatakan dalam al-Quran, kehidupan ini akan silih berganti antara kesenangan dan kesusahan. Firman Allah dalam al-Quranul Karim;

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,"
(QS. Al-Insyirah : 5)

Sebagai makhluk lemah, manusia terpaksa mengharungi semua kesukaran untuk mencapai sesuatu matlamat atau untuk meneruskan kehidupan. Lebih-lebih lagi kita sebagai manusia biasa sememangnya terpaksa bergantung dan berhajat kepada orang lain dalam memenuhi keperluan kehidupan di dunia ini.

Sebenarnya segala masalah dan rintangan ini mengandungi suatu hikmah yang amat besar manfaatnya kepada manusia. uk. Ia menyedarkan betapa kita adalah hamba Allah yang sentiasa bergantung harap kepada-Nya dan berkeadaan serba kekurangan dan kelemahan. Kita tidak dikurniakan segala macam kesempurnaan oleh Allah dalam mengharungi hidup ini. Bahkan kita perlu menempuhnya dengan pelbagai ujian.

Masalah yang kita hadapi bukanlah sebagai suatu yang sia-sia. Ia adalah satu proses peningkatan darjat dan kedudukan kita yang lebih tinggi di sisi Allah. Kesabaran, kecekalan dan tawakal dalam menghadapi segala macam pancaroba kehidupan menjadikan seseorang itu beroleh pahala yang banyak dan berganda berbanding orang lain yang tidak diuji dengan ujian dan cabaran itu. Akhirnya kita akan bertambah hampir kepada Allah disebabkan banyak berhubung dengan-Nya melalui doa dan tawakal.

Oleh itu, seharusnya kita bersyukur di seba lik menerima segala permasalahan kerana ia mengandungi hikmah dan rahmat iaitu menyedarkan kita siapa diri kita dan juga mengingatkan bahawa kita mempunyai tanggungjawab yang perlu kita tunaikan kepada Allah.

Apabila kita menyedari dan menghayati hakikat ini nescaya kita akan kembali kepada Allah setiap kali menghadapi masalah. Dengan cara ini masalah yang kita hadapi akan menjadi ringan. Ini kerana masalah yang mendatang itu tidak lagi dirasakan sebagai beban bahkan dianggap sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah, peluang memperbaiki kesilapan dan medan meningkatkan kedudukan kita di sisi Allah.uk.

Janganlah jadikan diri kita putus asa dengan hidup ini dan putus harap dengan rahmat Allah. Orang yang tidak kembali kepada Allah akan mencari cara penyelesaian yang lain untuk menyelesaikan. Iaitu penyelesaian yang bukan saja bercanggah dengan tuntutan agama bahkan menyalahi fikiran yang waras. Manusia yang tidak menjadikan agama sebagai cara hidup, akan bergantung kepada akal semata-mata dalam menyelesaikan segala permasalahan dan kesulitan yang dihadapi di dunia ini.

Kebingungan, tekanan perasaan, kecelaruan pemikiran dan sebagainya yang biasanya menimpa mereka yang ditimpa masalah akan menjadikan mereka mengambil keputusan penyelesaian yang kurang bijak, terburu-buru dan mengikut perasaan. Sebab itulah ada kalangan mereka yang mengambil jalan pintas dengan menelan pil tidur, menggantung diri, menggunakan dadah dan sebagainya yang jauh daripada lunas-lunas agama dan etika moral.

Bila waktu hujan lebat ramai yang menganggap ianya masalah. Khususnya mereka yang bermotosikal ke tempat kerja. Pasti anda akan merungut-rungut, cubalah bermain hujan... menari-nari dalam hujan tersebut, pasti anda akan rasa gembira. Ini perumpamaan sahaja, bukannya Ust Kay suruh pakcik makcik menari-nari pulak dalam hujan, zaman kanak-kanak dulu memang Ust Kay buat. Maksudnya ialah, positifkan masalah tersebut,
masa sulit tidak akan bertahan lama, percayalah !

Masalah kadangkala merupakan kesempatan untuk kita mengerjakan sesuat u yang lebih baik. Itulah hikmah dan rahmat yang besar di sebalik segala masalah dan kesulitan yang sering manusia hadapi. Cuma jangan buat masalah atau mencari masalah !

Hikmah pada masalah antaranya ialah ; Allah memberikan kita masalah untuk menguji kesabaran, kelelahan untuk menguji keikhlasan, kesulitan untuk mendapatkan kemudahan, kehilangan untuk mendapatkan syukur dan Allah SWT memberikan kita kesedihan untuk kita sentiasa mengingati-Nya.

Itu sebenarnya lebih indah dari semua hal. Kerana dari hal itu, kita akan tahu betapa Allah begitu dekat dengan kita.
Ketika kita memohon kepada Allah kekuatan, Allah memberikan kesulitan agar kita menjadi kuat. Sebab itu ketika kita memohon kepada Allah kebijaksanaan, Allah berikan kita masalah untuk kita selesaikan.

Begitu juga ketika kita memohon kepada Allah kesejahteraan, Allah memberikan kita akal untuk kita berfikir. Ketika kita memohon kepada Allah keberanian, Allah memberikan kita bahaya untuk diatasi. Ketika Kita memohon kepada Allah kasih sayang-Nya, Allah temukan kita orang bermasalah untuk kita tolong. Kita jarang dapat apa sahaja yang kita minta.

Tetapi yakinlah kita akan dapat segala yang kita perlukan. Malah kita akan diberi lebih banyak daripada yang kita minta. Allah tetap memberi walaupun tanpa kita minta. Contoh, Ust Kay rasa kita tak pernah minta "Ya Allah kurniakan kepada kami udara untuk kami bernafas dengannya." Itulah Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana... Allahu Akbar !

KESIMPULAN :
Semua orang ada masalah. Ada tak orang yang hidup tak ada masalah ? Selagi dia hidup pasti ada masalah, malah orang yang dah meninggal duniapun lagi bermasalah sekiranya ketika hidupnya tidak dipandu dengan iman dan takwa. Orang kata, orang gila tak ada masalah. Tak payah banyak fikir. Siapa kata? Orang gila pun sebenarnya ada masalah... masalahnya ialah gila ! Lagi banyak benda yang ada dalam fikirannya. Tak percaya...cuba jadi gila !
Wallahu a'lam - Penat giler... Ukay's

No comments: