Tuesday, June 17, 2014

Tamak bin Bakhil bin Kedekut bin Taik Hidung Masin...

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Selasa. 19 S'ban 1435H)
Tamak bin Bakhil bin Kedekut bin Taik Hidung Masin...

مَابَسَقَ اَغْصَانُ ذُلٍّ اِلاَّ عَلَى بِذْرٍ طَمَعٍ ٠

“Tidaklah akan berkembang biak cabang-cabang kehinaan itu, kecuali di atas biji ketamakan."

Tamak adalah salah satu penyakit hati akibat tidak istiqamah kepada anugerah Allah. Jiwanya sentiasa resah gelisah. Hendak begini, hendak begitu, semuanya dia hendak. Terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan, seperti pohon yang dihembus angin. Tamak adalah sifat manusia yang ingin memborong segalanya dan mengumpulkan semuanya. Tidak ada yang dia tidak sukai, semuanya dia suka tanpa mahu mengetahui apa gunanya. Milik yang ada di tangan orang lain pun disukainya, untuk itu dia akan berusaha memperolehnya. Sifat tamak inilah yang menghilangkan rasa malu pada dirinya.

PENCERAHAN :
Allah SWT berfirman: "Bagi Allah jua semua kemuliaan dan kekuatan, demikian juga bagi Rasul-Nya dan bagi orang beriman, sedangkan orang-orang munafik itu tidak mengetahui." (QS. Munafiqun: 8)

Abu Al-Husain Al-Waraq Al-Saaburi r.a; "Barangsiapa mengetahui akan dirinya kasih akan sesuatu daripada dunia, maka membunuh ia akan dia dengan pedang tamak; dan barangsiapa tamak dalam sesuatu, maka hinalah baginya dan dengan hinanya itu maka binasalah ia."

Perasaan tamak dan kedekut, bakhil merupakan sifat mazmumah, sifat yang tercela pada diri seseorang. Rasa tamak menjadikan seseorang tidak marasa cukup dan berusaha untuk mendapatkan yang lebih. Seseorang yang sudah merasa seronok dan senang dengan nikmat yang diberikan, tidak mahu nikmat tersebut hilang darinya bahkan rasa ingin lebih seronok dengan nikmat, maka timbul rasa tamak yang akhirnya mereka menjadi hamba kepada nikmat dan keseronokan.

Kalau dia tamakkan harta, kalau boleh semua harta adalah miliknya, orang lain tak perlu berharta.
Kalau dia tamakkan jawatan, kalau boleh jawatannya kekal padanya sampai bila-bila, orang lain tak perlu memegang jawatannya. Kalau dia tamakkan kuasa, kalau boleh tak payah berlaku peralihan kuasa. Sebab merasakan orang lain langsung tak pandai memerintah dan berkuasa sepertinya.
Kalau dia tamakkan kasih sayang, kalau boleh semua orang terutama suaminya hanya menyayanginya, tak mahu kongsi-kongsi...tamak sungguh !

Tamak diibaratkan sebagai benih yang menumbuhkan pokok kehinaan. Dahan-dahan kehinaan akan menjalar dan terhulur ke sana ke mari. Penyakit tamak akan mengikis perasaan malu dan menghapuskan maruah diri dan memakaikan pakaian kehinaan kepada orang yang berkenaan. Dia menjadi hina pada pandangan makhluk dan lebih buruk lagi kedudukannya di sisi Allah SWT.

KESIMPULAN :
Orang yang tamak umpama anjing yang lidahnya sentiasa terjulur melihat apa yang ada di dalam tangan orang lain. Si anjing tidak memperdulikan apakah dia dimaki, dihalau atau dipukul asalkan dia boleh dapat apa yang dia mahu. Si tamak melihat seolah-olah rezeki yang diperuntukkan kepadanya tidak ada sempadan, sementara rezeki yang diperuntukkan kepada orang lain masuk ke dalam sempadan rezekinya, sebab itu menjadi haknya untuk mengambil apa yang masuk ke dalam sempadannya.
Wallahu a'lam - Jangan jadi anjing dan 'menganjingkan' orang ! Ukay's.

No comments: