Tuesday, June 3, 2014

Tawaduk... 3/6/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Rabu, 6 S'ban 1435H)
Apakah Itu Tawaduk?

Tawaduk adalah sikap merendah diri yang bersumber rasa memiliki kekuatan, kemuliaan, penghormatan pada orang lain, dan bukannya rendah diri yang bersumber dari rasa memiliki kekurangan, kelemahan, kehinaan, dan keperluan kepada orang lain (inferiority complex). Sikap ini adalah sifat yang mulia warisan nabi-nabi, rasul-rasul, sahabat dan tabiin sejak zaman dahulu kala.

PENCERAHAN :
Keadaan-keadaan yang menunjukkan bahawa seseorang itu memiliki sifat tawaduk antaranya ialah ;
1. Menerima dengan redha apa sahaja ketetapan dan takdir Allah SWT kepada dirinya.
2. Bersangka baik dengan Allah SWT dengan menganggap bahawa sesuatu ketentuan itu pasti ada kebaikannya.
3. Mentaati perintah dan hukum Allah SWT tanpa mempersoal. Contoh mengenai kewajipan menutup aurat, poligami atau seperti hukum hudud, qisas, takzir
4. Mengerjakan amal fardhu dan sunat dengan merendah diri dan mengharap amalan itu diterima oleh Allah SWT.
5. Mengaitkan setiap pujian yang diberikan kepada Allah SWT dengan mengucapkan syukur kepada Allah.
6. Mendahulukan suruhan Allah SWT dari hal-hal keduniaan dan kepentingan diri sendiri.
7. Memuliakan Rasulullah SAW dan sunnah baginda SAW (surah, sirah, sarirah) dengan mengamalkannya.
8. Tidak bersikap sombong kepada golongan yang lebih lemah atau rendah dari kita.
9. Bercampur gaul dengan semua golongan masyarakat tanpa mengira tahap dan kedudukan mereka.
10. Tidak menunjuk-nunjuk ketinggian ilmu dan kemahiran kepada orang ramai atau di media sosial.
11. Tidak berbahas-bahas tentang perbezaan pandangan kumpulan masing-masing seolah-olah tidak ada jalan tengah ataupun menganggap golongan lain tetap salah.
12. Menghormati guru yang menyampaikan ilmu walaupun mempunyai pandangan yang berbeza.
13. Menerima teguran dengan hati yang terbuka walaupun yang menegur adalah orang yang lebih rendah statusnya.
14. Sanggup menerima pertolongan dan bantuan dari seorang s ekalipun dianggap musuh/ tidak digemari.
15. Menerima kenyataan bahawa seorang yang lain lebih baik dari dirinya.
16. Mengaku kesalahan diri dan meminta maaf. Tidak menganggap bahawa memberi maaf itu petanda kalah atau kelemahan diri.
17. Bermuzakarah secara profesional dan tidak menyerang peribadi lawan untuk menjatuhkannya.
18. Memuliakan orang alim dan mendahulukan mereka dalam setiap perkara.
19. Tidak memperlihatkan harta kekayaan yang dimiliki dengan tujuan menandingi orang lain.
20. Tidak berbangga-bangga dengan kecintaan seseorang terhadap dirinya.
21. Tidak taksub dengan pendapat kumpulan sendiri sehingga menutup pintu muzakarah atau menyebabkan orang lain tidak berani menegur kesalahan kita.
22. Tidak mencari alasan untuk menghalalkan apa-apa kesalahan yang telah dilakukan dengan mengemukakan pendapat pihak-pihak lain yang menyokong.

HIKMAH BERSIFAT TAWADUK ;
1. Mendapat keredaan dan rahmat dari Allah SWT di dunia dan diakhirat.
2. Ilmu yang dipelajari dari mana-mana guru mudah masuk meresap ke dalam hati.
3. Menggalakkan pengamalan dari ilmu yang diperolehi dan bukannya sekadar bahan untuk perbahasan bagi menunjukkan kelancaran lidah dan ketinggian ilmu.
4. Membuka jalan untuk melihat kesilapan diri sekaligus dapat memperbaiki dan memajukan diri.
6. Disenangi ramai orang ramai.
7. Dihormati teman dan musuh.
8. Dijauhi dari sifat bongkak dan sombong.
9. Rezeki dari sumber yang suci dan tiada unsur haram.
10. Mendapat darjat ibadah yang tinggi di sisi Allah.

CARA UNTUK MENDAPATKAN SIFAT TAWADUK;
1. Tidak taksub dengan pendapat kumpulan sendiri.
2. Memandang kebaikan orang lain walaupun kelemahan orang itu terlampau banyak berbanding kebaikannya.
3. Melihat kelemahan diri sendiri walaupun mempunyai pelbagai kelebihan yang diiktiraf ramai orang.
4. Menjadikan kritikan musuh sebagai cermin untuk melihat kelemahan diri sendiri.
5. Memahami bahawa sesuatu kejayaan tidak akan kita perolehi tanpa izin dari Allah SWT.
6. Membiasakan diri mengaitkan sesuatu kebaikan yang kita perolehi dengan kekuasaan dan ke izinan dari Allah SWT dan bukannya asbab usaha diri kita sendiri.
5. Berkawan dengan orang yang lemah/kekurangan berbanding diri kita untuk menimbulkan rasa syukur (bukan untuk membangga diri) dan memuliakan mereka.
6. Mengamalkan sunnah dengan hidup sederhana dan tidak bermewah-mewah dengan harta yang ada.
7. Mengurangkan perhiasan dan kemasan di dalam rumah kerana dikuatiri menimbulkan rasa bangga diri dan lalai.
8. Merujuk sesuatu permasalahan kepada orang yang lebih berpengalaman sebelum mengambil keputusan.
9. Mengambilkira pandangan staf atau rakan sepejabat sebelum sesuatu keputusan diambil ditempat kerja.
10. Menghormati hak jiran tetangga dan elakkan kelakuan yang menyakiti hati mereka.
11. Elakkan membiasakan diri dengan helah bela diri (defend mechanism).
12. Sentiasa beranggapan bahawa seseorang yang kelihatan jahil dan lalai itu berpotensi untuk menjadi lebih baik dari dirinya.
13. Tidak menghina orang lain atas kejahilan dan kelemahan mereka.
14. Memenuhi undangan walaupun si pengundang menjemput anda atas perantaraan orang lain dan redha dengan apa sahaja makanan yang dihidangkan.
15. Membiasakan diri melakukan setiap pekerjaan sendiri atau membantu pembantu rumah sekiranya mereka letih.

KESIMPULAN :
"Barangsiapa yang bersikap tawaduk karena mencari ridha Allah, maka Allah akan meninggikan darjatnya. Ia menganggap dirinya tiada berharga, namun dalam pandangan orang lain ia sangat terhormat. Barangsiapa yang menyombongkan diri maka Allah akan menghinakannya. Ia mengaggap dirinya terhormat, padahal dalam pandangan orang lain ia sangat hina, bahkan lebih hina daripada anjing dan babi"
(HR : Al-Baihaqi)

Seseorang belum dikatakan tawaduk kecuali jika telah melenyapkan kesombongan yang ada dalam dirinya. Semakin kecil sifat kesombongan dalam diri seseorang, semakin sempurnalah ketawadukannya dan begitu juga sebaliknya. Wallahu a'lam - Khusyuk dan tawaduk, bukan tunduk dan mengantuk. Ukay's.

No comments: