Wednesday, July 23, 2014

Baca Dan Tadabburlah Al Quran...23/7/14

Baca Dan Tadabburlah Al Quran.
Idris Hj Ahmad
17/7/14

Saban tahun kita meraikan sambutan Nuzul Al Quran apabila munculnya 17 Ramadan dan diistiharkan cuti umum oleh sebahagian besar di negeri Malaysia. Lebih hebat lagi Malaysia pula mengadakan Musabaqah Al Quran peringkat Antarabangsa, sehingga Malaysia terkenal di kalangan dunia Islam. Persoalannya cukupkah sekadar begitu sahaja untuk kita hendak menjunjung Al-Quran yang merupakan mukjizat agung.

Kita mesti merasa malu jika kita sebagai pejuang Islam tidak membaca Al Quran. Sudahlah hukum Quran dikebelakangkan untuk menjadi cara hidup yang lengkap. Kerana masyarakat   lebih selesa untuk tidak mengambil AlQuran sebagai cara hidup. Semuanya berpunca daripada kejahilanya.

Al-Quran Untuk Memberi Hidayah
Salah jika kita menganggap Al-Quran hanya untuk mendapat berkat sahaja, sedangkan Al-Quran diturunkan untuk memberi pentunjuk dan panduan hidup kepada manusia. Akibat kejahilan setengah masyarakat mereka anggap Al-Quran hanya untuk mengambil berkat sahaja. Al-Quran hanya dibaca ketika hendak pindah ke rumah baru, baca ketika orang sakit dan orang mati sahaja. Maksud Firman Allah SWT "Bulan Ramadan diturunkan Al-Quran untuk memberi petunjuk kepada manusia"

Ketenangan Jiwa
Ketenangan yang sebenar akan diperolehi daripada Allah SWT dengan kita banyak membaca Al Quran. Kerana ia adalah sumber ketenangan asli kepada  seorang Muslim. Jiwa manusia menjadi resah, berpunca  dari jiwa yang kosong. Ubat kepada kepada keresahan ini sudah semesti Al-Quran  yang akan menjadi penawar. Jiwa yang kosong tidak boleh dipenuhi dengan makanan jasmani biasa. Jiwa yang kosong tidak boleh diubat oleh doktor pakar.

Arahan Allah Kepada Kita.
Ketika kita membaca mesti kita serapkan dalam hati bahawa yang kita baca ini ialah merupakan arahan daripada pencipta yang agong. Malahan lebih daripada kita membaca Perintah Am di tempat kerja kita. Apa yang diarah mesti kita patuh tanpa alasan untuk engkar. Jika engkar kecelakaan menunggu selepas mati nanti.

Rujukan Kepada Perjuangan
Pas telah me letakkan di dalam Perlembagaannya Al Quran, Hadis, Ijma' dan Qias. Kita tidak pernah buang dan berganjak daripada dasar ini, samaada ketika Pas keseorangan atau bertahaluf dengan rakannya. Setiap apa yang kita lakukan tidak akan lari daripada petunjuk Al Quran. Kita tidak akan gadai prinsip walaupun ada keuntungan duniawi. Kemampuan ulamak Pas untuk mengistinbatkan hukum daripada Al Quran adalah satu kelebihan. Isi kandungan Al-Quran sentiasa segar dan menarik untuk menyelesaikan permasalahan semasa seperti Firman Allah SWT dalam Surah Yasin ayat 2 "Demi Al-Quran yang maha bijaksana"

@Motivasi Untuk Pejuang
Al Quran merupakan sumber motivasi yang paling bernilai di dalam kehidupan kepada seorang pejuang. Motivasi pahala dan syurga yang dijanjikan oleh Al-Quran adalah barang yang tidak  boleh ditukar dengan setinggi gunung emas. Apabila kita membaca dan mentadabbur ayatnya ia boleh memberi perangsang kepada kita untuk terus berjuang. Motivasi inilah yang ditakuti oleh musuh Pas. pernah satu ketika dahulu ada seorang pemimpin negara mengatakan Pas memberi rasuah syurga, sehingga mencadangkan kepada SPR supaya memasukan janji syurga termasuk kesalahan pilihanraya.

@Milikilah Al Quran terjemahan

Bagi kita yang tidak mahir di dalam bahasa Arab, maka eloklah mempunyai Al-Quran terjemahan supaya kita dapat menghayati makna Al-Quran dengan lebih mendalam. Ini akan menimbulkan kekhusukan kepada apa yang kita baca. Ada beza membaca Al-Quran tanpa faham dengan faham maknanya.

Kenapa Manusia Mengabai Membaca Al-Quran.
1. Sikap memandang remeh tentang kepentingan Al-Quran
2. Godaan syaitan yang menghalang usaha baik ini.
3. persekitaran yang tidak membentuk sikap rajin untuk membaca Al-Quran.
4. Sibuk dengan urusan duniawi sehingga tidak sempat membelek Al-Quran
5. Sibuk melayan media baru, sehingga ruang masa dicuri untuk Wasap dan Face book.
6. Tidak ditarbiah untuk rapatkan diri dengan Al-Quran

No comments: