Thursday, May 15, 2014

KITAB MASALAH IMAM DAN MAKMUM 86 - 92

KITAB MASALAH IMAM DAN MAKMUM

بسم الله الرحمن الرحيم

86) Makmum mendapati imam sedang sujud.

Huraian :
Jika seorang datang dan mendapati imam sedang sujud maka diharuskan kepadanya mengihramkan solatnya dengan berdiri dan terus mendapatkan imam dalam sujud. Tersebut dalam الترمذى dari abdullah bin mubarak katanya ia telah mendengar dari ahli ilmu bahawa siapa yang sujud begitu, maka sebaik sahaja ia mengangkatkan kepalanya dari sujud itu ia dikurniakan keampunan. Kerana itu diharuskan kepada imam menunggu apabila ia merasa ada makmum yang sujud supaya makmum itu sempat mendapatkannya.

87) Imam tertinggal tasyahud pertama.

Huraian :
Jika imam tinggal tasyahud pertama dari solat empat rakaat dan terus berdiri samaada lupa atau sengaja, lalu makmum pon تخلف kerana menyempurnakan tasyahud itu, maka hukumnya batallah solatnya. Tetapi jika makmum itu bermufarakah dengan imam untuk menyempurnakan tasyahud itu, maka hukumnya tidak batal dan dikira bermufarakah dengan keuzuran, tetapi jika imam berdiri dan kembali semula menyempurnakan tasyahud pertama itu, maka makmum tidak boleh memgikutnya, bahkan makmum bermufarakah dengan imam, dalam masalah ini bolehkah makmum menunggu imam dalam qiam dan menganggapkan imamnya telah terlupa? Jawapannya ada dua pendapat dan yang palinh utama dibolehkan.

Masalah ini sama dengan masalah jika imam berdiam di dalam solat, maka hendaklah makmum jangan memutuskan ikutannya bahkan hendaklah ia menganggapkan perbuatan imamnya itu sebagai terlupa atau terdesak.

Bersambung..........

Mohon maaf dan teguran seandainya berlaku
khilaf dan kesilapan.
Doakan keikhlasan & kerahmatan kepada Ustaz Mahfuz sekeluarga dan muslimin dan muslimat...

والله اعلم

KITAB MASALAH IMAM DAN MAKMUM

بسم الله الرحمن الرحيم

88) Imam berdiri kerakaat yang kelima.

Huraian :
Jika imam berdiri kerakaat yang kelima, maka hendaklah makmum bermufarakah dengannya dan jangan mengikutinya, dan jika makmum mengikutinya dengan sengaja dan tahu perbuatan itu haram nescaya batallah solatnya, jika makmum yang mengikuti imam yang bangkit berdiri kerakaat yang kelima itu seorang makmum yang masbuk yang tahu imam itu mendirikan rakaat yang lebih nescaya tidak sah ikutannya, tetapi jika ia mengikutinya dengan kejahilan dan mendapat semua rakaat dengannya, maka ikutannya sah dan rakaat yang lebih itu dikirakan untuknya mengikut pandapat yang shohih.

89) Makmum lambat ikut imam (تخلف)kerana membaca tasyahud pertama.

Huraian :
Jika makmum تخلف kerana membaca tasyahud pertama nescaya batallah solatnya, seperti imam terlupa untuk tasyahud atau imam telah rukuk untuk rakaat yang ketiga. Ketahuilah bahawa tasyahud awal itu adalah sunat dan mengikut imam itu wajib.

90) Makmum rukuk sebelum imam.

Huraian :
Kata imam haramain jika makmum rukuk sebelum imam atau bangkit dari rukuk sebelum imam maka haram baginya rujuk kembali dan jika ia rujuk kembali nescaya batallah solatnya kerana ia menambahkan satu rukuk dengan sengaja. Tetapi jika makmum rukuk sebelum imam itu lupa seperti makmum terdengar suara lalu ia menyangka imam telah rukuk dan kerana itu iapun rukuk, kemudian ternyata imam belum rukuk maka menurut البغوى ada dua pendapat mengenainya, satu pendapat wajib rujuk kembali dan menurut pendapat yang asoh ia tidak wajib rujuk kembali tetapi diberi pilihan diantara rujuk dan tidak rujuk kembali.

Ujar arRafaie sahabat-sahabat kami ulamak-ulamak iraq(baghdad) telah sepakat mengatakan jika makmum itu rukuk sebelum imam dengan sengaja maka diharuskan kepadanya rujuk kembali kepada qiam supaya ia dapat rukuk bersama imam. Kata imam nawawi dalam syarah muhazab pendapat yang dinaqalkan oleh arRafaie dari ulamak iraq itu adalah benar begitu dan termaktub dalam kebanyakan kitab mereka, dan itulah pendapat yang dinaskan oleh imam syafie di dalam al-Um. Tetapi menurut syeikh abu hamid dan pengarang muhazab pula wajib rujuk kembali.

Kesimpulannya disana ada tiga pendapat mengenai masalah rukuk imam iaitu pendapat yang asoh diharuskan rujuk kembali . Pendapat yang kedua wajib rujuk kembali dan pendapat yang ketiga haram rujuk kembali dengan erti jika ia rujuk nescaya batallah solatnya.

Bersambung..........

Mohon maaf dan teguran seandainya berlaku
khilaf dan kesilapan.
Doakan keikhlasan & kerahmatan kepada Ustaz Mahfuz sekeluarga dan muslimin dan muslimat...

والله اعلم

KITAB MASALAH IMAM DAN MAKMUM

بسم الله الرحمن الرحيم

91) Mengubahkan solat fardhu kepada solat sunat.

Huraian :
Jika seseorang itu mulai menunaikan solat fardhu dengan seorang diri, kemudian datang sekumpulan orang mendirikan solat jemaah, lalu ia pon ingin turut bersolat jemaah dengan mereka, maka diharuskan kepadanya mengubahkan solat fardhu yang sedang dikerjakannya itu kepada solat sunat, dan apabila selesai dua rakaat hendaklah ia memberi salam kemudian masuk berjemaah bersama mereka. Inilah yang dinaskan oleh imam syafie dan di ittifakkan oleh para sahabatnya. Tetapi jika ia takut luput jemaah sekiranya ia menunaikan dua rakaat, maka diharuskan kepadanya memutuskan sahaja solatnya dan terus ikut berjemaah. Sebaliknya jika ia tidak memberi salam dan tidak pula memutuskan solatnya, bahkan ia terus niat masuk berjemaah dengan mereka, maka kata imam syafie dalam mukhtasar almuzni perbuatan itu makruh, dan tentang sah atau tidak solatnya itu, terdapat dua qaul. Menurut qaul yang asoh solat itu sah.

92) Makmum mengikut imam selepas imam selesai sujud.

Huraian :
Jika seseorang itu ihram solat mengikut imam selepas imam itu mengangkatkan kepalanya dari sujud, maka hendaklah ia menunggu imam itu dalam keadaan berdiri dan ia tidak wajib turun kelantai untuk qiam bersama imam, tetapi jika ia turun juga, maka solatnya sah tidak batal.

Bersambung..........

Mohon maaf dan teguran seandainya berlaku
khilaf dan kesilapan.
Doakan keikhlasan & kerahmatan kepada Ustaz Mahfuz sekeluarga dan muslimin dan muslimat...

والله اعلم...��

No comments: