Thursday, May 8, 2014

Sambil makan & minum pom dpt pahala

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Khamis, 8 Rejab 1435H)
Sambil Makan & Minum pun Dapat Pahala...

Iaitu dengan cara pemakanan yang terbaik dengan itiba' as-Sunnah Rasulullah SAW. Kerana amalan pemakanan Baginda SAW amat bertepatan dengan ayat al-Quran ;

ٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
“... makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas...” (QS. al-A'raf : 31)

PENCERAHAN :
Rasulullah SAW menyuruh umatnya agar membaca Basmalah dan doa makan ketika hendak makan dan mengakhirinya dengan membaca Hamdalah sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah. Sebelum makan kita berdoa bersama-sama tetapi selepas makan, biasanya doa sendiri-sendiri atau langsung tidak berdoa !

Rasulullah SAW hanya makan ketika benar-benar lapar dan berhenti sebelum kenyang. Rasulullah SAW mengajar cara untuk makan dan minum iaitu 1/3 ruang untuk makanan, 1/3 bahagian untuk udara dan 1/3 lagi untuk air

Jangan pula makan dan minum cara syaitan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian hendak makan, maka hendaknya makan dengan menggunakan tangan kanan dan apabila hendak minum maka hendaknya minum juga dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan itu makan dengan tangan kiri dan juga minum dengan menggunakan tangan kirinya.”
(HR : Muslim)

Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang daripada kamu sudah selesai makan, jangan dibersihkan jarinya sebelum dia menjilatnya”. (HR : Muslim). Kita hari ini ramai yang makan menggunakan sudu dan garfu. Tak ikut sunnah kerana tak perlu jilat sudu dan garfu itu...

Perbuatan membasuh tangan dan berkumur sebelum dan selepas makan adalah amalan sunnah yang juga bertujuan untuk membersihkan gigi daripada sisa makanan dan bakteria. Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berkumurlah kalian selepas minum susu kerana di dalamnya mengandung lemak”. (HR : Ibnu Majah).

Di samping itu, Rasulullah SAW gemar makan cara 'Nasi Ambeng' iaitu dalam dulang bersama-sama dengan sahabat Baginda. Ini secara langsung akan menciptakan kemesraan dan meningkatkan rasa sayang. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berkumpullah kalian dalam menyantap makanan (bersama-sama), kerana dalam makan bersama itu akan memberikan barakah kepada kalian” (HR : Abu Daud)

Menurut al-Hafidz dan Sheikhul Islam Ibn al-Qayyim Al- Jauziyyah, menyatakan Nabi SAW bercakap dan berbual hal agama ketika makan. Tetapi jangan bercakap dengan makanan penuh dalam mulut dan jangan juga bercakap hal yang boleh menimbulkan rasa jijik atau loya.

“Ada kalanya Nabi SAW bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu itu.” (HR : Muslim). “Dan ada kala Nabi SAW mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya, ada ketika Nabi SAW sentiasa menggalakkan tetamu baginda supaya menambah lauk pauk dan minuman.” (HR : al-Bukhari).

Rasulullah SAW juga ada memberi panduan mengenai cara minum antaranya jangan minum berdiri, jangan meniup air yang panas, jangan minum daripada bekas air yang besar (Gelas besar ?), jangan bernafas ketika sedang minum dan minum seteguk diselang seli dengan bernafas.

Apabila kita minum daripada bekas yang besar, lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita. Apabila kita hembus, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu Karbon Dioksida yang apabila bercampur dengan air (H20) dan akan menjadi H2CO3 iaitu menyebabkan minuman itu menjadi berasid.

KESIMPULAN :
Justeru, amalan pemakanan yang dipamerkan Rasulullah SAW seharusnya diikuti dan dicontohi oleh kita semua demi kesihatan yang mantap dan barakah. Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.
Wallahu a'lam - Jom ajak Ust Kay makan ! CCUK

No comments: