Thursday, May 8, 2014

Tazkirah lagho aka lalai,leka,sia2

Assalamu alaikum w.b.t

    Bersama tazkirah ringkas pada kali ini iaitu mengenai 'lagho' (lalai, leka, sia-sia). Kebiasaannya kita hanya menyangka bahawa perkara lagho itu hanya berkaitan dengan perbuatan yang tidak berfaedah sahaja. Tetapi sebaliknya para ahlulLah (orang-orang yang rapat dengan Allah) mempunyai tafsiran yang lebih seni mengenai lalai atau lagho itu.

    Sufyan ats-Tsauri, seorang ulama hadis yang terkemuka, menyatakan bahawa ada sepuluh hal yang termasuk dalam kategori sia-sia (lagho), iaitu:-

1. Laki-laki atau wanita yang berdoa untuk dirinya sendiri, tapi tidak dimohonkannya doa untuk ibu-bapanya sendiri dan kaum Muslimin.

Maka, setiap kali kita berdoa memohon hajat-hajat kita daripada Allah, jangan kita lupa untuk mendoakan kebaikan yang sama untuk ibu bapa dan saudara-saudara kita kaum muslimin/muslimat.

2. Orang yang kerapkali membaca Al Quran, tapi tidak membaca secara tertib sampai seratus ayat tiap-tiap hari.

Latihlah diri kita untuk membaca al-quran pada kadar-kadar tertentu. Sebaik-baiknya berusahalah untuk dapat membaca 100 ayat setiap hari.

3. Laki-laki yang masuk ke dalam masjid, kemudian ia keluar kembali dari masjid itu tanpa mengerjakan shalat tahiyatul-masjid.

Jika kita terlewat ke masjid dan solat telahpun didirikan, maka solatlah bersama jemaah kerana solat itu juga telah dikira sebagai menghormati masjid.

4. Orang-orang yang melewati tanah perkuburan, tapi tidak mengucapkan salam kepada penghuni-penghuni kubur dan tidak mendoakan untuk keselamatan arwah-arwah mereka.

Apabila melalui perkuburan Islam, maka biasakanlah memberi salam kepada penghuninya, sekurang-kurangnya kita menyebut " Assalamu alaikum ya ahlal qubur..". Kelak apabila kita telah menjadi penghuni kubur, moga Allah menghantarkan orang-orang yang sentiasa memberi salam dan berdoa kebaikan buat kita.

5. Laki-laki yang masuk pada hari Jumaat ke suatu kota, kemudian ia keluar lagi dari kota itu tanpa mengerjakan shalat Jumaat berjemaah.

Berhati-hatilah ketika musafir dan pelajarilah fekah musafir agar ki ta tidak tersilap langkah hingga melalaikan perintah-perintah Allah ketika permusafiran kita.

6. Laki-laki atau wanita yang tinggal di suatu lingkungan dengan seorang ulama, tapi dia tidak mempergunakan kesempatan itu untuk menambah ilmu pengetahuan.

Berusahalah mendampingi dan memetik manfaat daripada orang-orang yang berilmu, terutamanya yang ada berhampiran dengan kita.

7. Dua orang laki-laki yang bersahabat, tapi mereka tidak saling menanyakan tentang keadaan masing-masing dan keluarganya.

Luangkan seminit, telefonlah sahabat anda, dan tanyakanlah khabarnya.

8. Laki-laki yang mengundang seseorang menjadi tetamunya, tapi tidak diacuhkan dan tidak dilayani tetamunya itu.

Rasulullah mengajarkan kita untuk memuliakan tetamu, sehinggakan memuliakan tetamu termasuk di dalam cabang iman.

9. Pemuda yang menjadikan zaman mudanya berlalu begitu saja tanpa memanfaatkan waktu yang berharga itu untuk menuntut ilmu dan meningkatkan budi pekerti.

Apa jua kesempatan yang ada, maka manfaatkanlah untuk menambah ilmu mempersiap bekal. Sesungguhnya perjalanan terlalu jauh, bekal terlalu sedikit, bebanan terlalu berat.

10. Orang yang tidak menyedari tetangganya yang merintih lantaran kelaparan, sedang ia sendiri makan kekenyangan di dalam rumahnya.

Berbuat baik kepada tetangga juga adalah termasuk di dalam cabang iman. Sabda Nabi s.a.w: Berterus-terusanlah Jibril mewasiatkan aku mengenai (hak-hak) jiran, sehinggakan aku menyangka bahawa jiran itu termasuk ahli waris (yang boleh mewarisi harta pusaka).

Semoga bermanfaat..

Sekian, wassalam.

Ikhlas dari,

Ust Muhammad Zaidi Bin Hassan Basri
(B.A TAKHASUS AL-QURAN DAN QIRAAT, AL-AZHAR UNI, EGYPT) 

Islamic Human Development Executive,

No comments: